CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, September 14, 2013

ATUR STRATEGI LAIN


Mohd. Rozaimi Abd. Rahman

KUANTAN - Walaupun sudah menjaringkan dua gol, masih belum ada sebarang jaminan buat penyerang dari Sabah, Mohd. Rozaimi Abd. Rahman untuk mendapat tempat secara automatik dalam kesebelasan utama menjelang perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 berdepan Myanmar di sini, esok.
Bukan mahu menganggap aksi seorang lagi penyerang, A. Thamil Arasu lebih bermutu, namun jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee mahu melihat Rozaimi memperbaiki lagi kemampuan terutama daripada aspek bertahan semasa pasukan sedang diserang oleh pasukan lawan.
Jelasnya, Rozaimi memang seorang penyerang yang baik, cuma apabila memikirkan strategi pasukan daripada segi keseluruhan, dia perlu membuat keputusan berdasarkan kekuatan pasukan lawan.
"Rozaimi yang kita kenali memang mempunyai sentuhan gol yang cukup baik tetapi setiap perlawanan adalah berbeza kerana kekuatan pasukan sentiasa berlainan.
"Banyak perkara yang saya akan ambil kira seperti berapa peratus seseorang pemain itu membantu pasukan dalam situasi bertahan kerana itu cukup penting bagi memastikan pasukan sentiasa beraksi dengan baik sepanjang masa.
"Saya tahu mungkin dia (Rozaimi) kecewa, tetapi tidak ada jalan pintas buat dirinya atau sesiapa pun untuk berada dalam kesebelasan utama, mereka kena berusaha gigih dan tidak menunjukkan sikap cepat berputus asa," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar, kelmarin.
Tidak dinafikan sebahagian peminat pasti menagih aksi Rozaimi menjadi penggempur utama Harimau Muda pada pentas akhir Pestabola Merdeka selepas dua jaringannya membenam Thailand 3-0 pada aksi menentang Thailand.
Berbanding Thamil, pemain itu sekadar menjaringkan satu gol ketika berdepan Singapura pada perlawanan sulung, namun golnya itu sudah cukup memastikan Harimau Muda membawa tiga mata penuh dengan kemenangan tipis, 1-0.
Selain Thamil dan Rozaimi, Kim Swee juga mempunyai seorang lagi penyerang, Mohd. Ferris Danial yang boleh disandarkan harapan jika kedua-dua pemain itu mendapat kecederaan.
Menjelang perlawanan dengan Myanmar, difahamkan pemain tengah, Junior Eldstal, mengalami masalah cirit-birit, namun keadaan itu tidak serius dan dia mampu pulih sebelum esok.
Mengulas kemenangan dengan Thailand, Kim Swee mengakui dia berasakan sukar untuk memilih kesebelasan terbaik selepas lima muka baharu yang diturunkan ketika bertemu Thailand menunjukkan prestasi yang mengagumkan.
"Ini satu situasi yang pasti membuatkan saya sukar membuat keputusan terhadap siapa yang akan diturunkan pada aksi akhir nanti namun saya suka sebenarnya apabila pening kepala sebegini.
"Saya ada banyak pilihan pemain yang boleh diturunkan dan menunjukkan sesiapa sahaja dalam pasukan ini ada kemampuan bila-bila masa untuk berada dalam kesebelasan utama," katanya.


0 comments: